MATA aku terpejam rapat, namun rohku masih
memujuk diri untuk terus berjaga. Jam menunjukkan pukul dua pagi, zikir
aku usahakan untuk terus aku lafazkan dan kuharapkan ia akan mengalir
terus ke hati. Di sebelah, anak perempuan sulung kepada sepupuku sudah
nyenyak melayari mimpi.
Hatiku tidak tenteram, jiwa seakan sakit. Tidak dapat dikesan keadaan
diri, hati berdebar-debar seakan-akan hati dan jantungku ingin terburai
pecah keluar. Kelopak mata aku buka perlahan-lahan, terlihat
bintang-bintang kecil yang menghiasi ruang syiling bilik yang agak
sederhana itu.
Badan aku palingkan ke kiri dan ke kanan, namun tetap tidak
menambahkan keselesaan, hanya kegelisahan yang makin merebak ke seluruh
urat sarafku. Esok, aku akan terbang ke negeri di bawah bayu lagi.
Semester akhir akan aku hadapi, tidak lama lagi aku akan bergraduasi
setelah melalui perjalanan semester nanti, jika diizinkan Tuhan moga aku
selamat menempuh dengan tenang dan cemerlang.
Matlamat untuk mencapai kejayaan bukan sahaja untuk kerjaya di dunia,
namun yang aku harap kejayaan meraih pingat di akhirat, pingat usaha,
pingat yang membawa ke syurga, moga Allah redha, moga kejayaan ini yang
mengheret aku untuk berjaya di alam sana.
Pernah ada yang berkata, kejayaan dunia dan akhirat itu terpisah,
bersatu itu mustahil. Kejayaan dunia untuk dikecapi di sini, manakala
kejayaan akhirat untuk dinikmati. Mana boleh, bagi aku kejayaan di dunia
itulah penentu kejayaan di akhirat sana, maka ia perlu bergerak
seiring.
Bukan bermaksud berjaya dari segi material sahaja, dari kerjaya yang
besar-besar berpangkat Dato’ segala. Namun, kejayaan di sini bermaksud
kejayaan meraih kekayaan hati, kaya dengan iman, kaya dengan taqwa,
berjiwa besar dengan Islam dan bermatlamatkan Mardhatillah (keredhaan
Allah).
Ah, jauh lagi aku berfikir. Di kala ini macam mana lagi mahu
melelapkan mata. Esok petang penerbangan itu, pastinya tidur perlu lena,
paginya tentu riuh dengan anak-anak buah, tentu sahaja tidak dapat lagi
lenakan diri. Akan ada saja yang datang menerjah dengan soalan yang
bermacam-macam.
Pagi tadi anak sepupu yang paling kecil bertanya penuh makna,
ternyata budak kecil semacamnya banyak persoalan yang ingin dijawapi.
Mungkin juga, itu ilham daripada Tuhan untuk aku sedar diri dan
perbanyakkan muhasabah diri. Jika suatu hari nanti, akan ada anak dengan
suami yang akan mengahwini diri pastinya perlu aku jawab dengan penuh
hemah dan berseni kerna pengajaran itu akan menjernihkan fikiran dan
hati anak-anak kami.
Sepetang bermain dengan Nia, tiba-tiba dia bertanya.
“Kenapa Kak Niza pakai tudung, mama tidak pakai pun?”
Allah, soalan ini memberat, bagaimana mahu kau dimengertikan wahai
anak kecil. Anak kecil yang keliru dengan keadaan individu yang berbeza.
Anak itu yang masih kecil kadang-kadang dipakaikan tudung ke sekolah,
namun kadang-kadang hanya dibiar saja terburai lepas.
Mahu saja aku mengertikan kau dengan Tuhan, namun mampukah kau mengenal. Nanti akan ada pula yang bertanya..
“Di mana Tuhan, kenapa tidak boleh dinampak pun?”
Soalan-soalan ini kerap ditanya oleh segelintir pelajarku sewaktu
menjadi guru sandaran di sekolah berdekatan dengan rumah di kampung.
Anak kecil yang jika tidak disuap dengan ilmu, tidak disudu dengan
akhlak yang baik dan kasih sayang. Mereka ini yang diibaratkan dengan
kain putih. Mudah saja tercorak dengan berbagai rupa.
Bila dicorak dengan bunga, jadilah ia seperti bunga, jika dicorak
pula dengan duri, jadilah ia seperti duri, namun jika dicorak dengan
ajaran Islam itulah pasti corak yang diingini dan diredhai Allah s.w.t.
Namun, berapa ramaikah ibu bapa di luar sana yang sedar dengan
tanggunggjawab diri ke atas anak-anak, berapa ramaikah mereka yang
mengambil berat akan ilmu fardhu ain yang lebih penting daripada fardhu
kifayah.
Seharusnya sejak kecil mereka ini mengenal Allah, mengenal siapa Dia
di sisi kita, mengenal siapa Rasul. Walau sedikit sahaja pendekatan
namun lama-lama akan menumbuhkan kecintaan yang meranum, akan melupuskan
kejahilan, akan menjernihkan fikiran. Bukan hanya berpeluk tubuh dan
menyerah kepada pendidik di sekolah sahaja, bukan hanya berserah dengan
cikgu yang mengajar hanya lapan jam sehari. Mereka juga kadang tidak
mampu untuk membimbing, masa yang diberi terhad. Bukan saja satu
matapelajaran bahkan berderet lagi kerja yang perlu diselesaikan.
Bagi aku,keluarga itulah yang memainkan peranan penting dalam memberi
didikan yang baik dan sempurna. Aku terasa bersalah dengan Nia, mungkin
silap aku untuk tidak menegur ibunya, namun jika ditegur adakah nasihat
aku akan diterima?
Anak kecil itu keliru, anak kecil itu butuhkan penjelasan aku, namun
soalan itu aku hanya aku biarkan sepi. Sepi apabila Nia riang diajak
abangnya pergi, mulut aku yang bagai digam rapat, merintih sendiri.
“Allah.. adakah ini teguranmu untuk aku menegur kak Linda?”
Aku tahu, ini kasih sayangmu.. sayangnya-Mu dengan kami. Hanya kami
yang selalu tidak mengerti. Segala pesan, segala teguran hanya kami biar
pergi sealur dengan angin yang berlalu. Manusia itu memang buta kerna
jarang nak buka mata hati. Dia memang sudah bagi banyak petanda, namun
jika tidak diertikan maka hancurlah diri dengan kemurkaan-Nya. Halus
teguran-Nya secantik ciptaan-Nya.
Teringat aku pula dengan akhlak Rasulullah s.a.w, walau sehina mana
dia dikeji tidak dia balas dengan kekejian pada diri yang menghina,
seburuk-buruk dia dicaci, tiada kejahatan yang dia palingkan kembali.
Dan dialah contoh semulia-mulia manusia, adakah lagi manusia seperti itu
di muka bumi?Setiap teguran baginda disusuri dengan akhlak yang mulia,
akhlak yang manis untuk diikuti. Namun, bagaimana cara untuk aku tegur
kak Linda dengan hikmah yang ditatang dengan akhlak baik.
“Allah.. bagi aku kekuatan dan petunjuk, moga ada jalan mulia untuk aku cengkami.”
Jam sudah menunjukkan jam 3.15 pagi. Perlahan-lahan mata aku mula
tertutup rapat. Sedetik, aku sudah berada di alam yang lain, merehatkan
minda dan badan, namun seakan-akan minda aku masih lagi bergerak ke sana
ke mari. Tidak tenang kerna ada resah lagi yang melanda di alam mimpi.
Hati yang tidak tenteram, buatkan aku terjaga lagi. Kali ini jam
sudah menunjukkan jam 4.50 pagi. Aku kuatkan hati dan tekadkan diri. Doa
bangun tidur aku baca, moga hari ini aku lalui dengan indah dan penuh
kesyukuran kepada Allah kerana membangkitkan aku lagi dan sekaligus
memberikan peluang untuk aku terus bernafas di muka bumi.
Kaki aku halakan ke tandas rumah, suis lampu di sebelah pintu tandas
aku petik, selipar yang tersedia aku sarungkan di kaki. Gigi aku
beruskan dan muka aku cuci dengan cermat. Tidak lama aku basahkan
beberapa bahagian diri dengan air untuk menyempurnakan wuduk sebagai
syarat untuk menunaikan ibadah sunat. Solat tahajjud menjadi matlamat.
Seusai wuduk aku yakini sempurna. Bilik tadi aku hampiri. Tidak aku
pasangkan lampu, biar sahaja dalam kelam, bias-bias neon di luar
terlihat indah. Bangunan berkembar petronas tersergam megah di hadapan.
Seakan dekat, namun hakikatnya jauh juga untuk sampai ke sana.
Kereta-kereta masih lagi ada yang bergerak di jalan-jalan, ke manakah
hala tuju mereka di pagi hari begini? Sudahkah merehatkan diri?
Begitulah dunia kota, sibuk dengan kerja tak kurang juga hiburan
sampaikan kehendak diri untuk berehat dicantas mati.
Kain telekung aku sarungkan, sejadah aku hamparkan berbetulan dengan
kiblat yang dipandukan dengan pelekat hijau di syiling sana. Aku hanyut
dengan kecintaan kepada Tuhan, merintih dengan dosa-dosa semalam,
memohon petunjuk dikurniakan kekuatan untuk menegur ibu Nia. Menegur
bukan bermakna aku lebih baik, namun menegur kerana aku sayang, aku
kasih kepada saudara sendiri, dan syurga yang aku ingini bukan aku ingin
hampiri seorang diri, namun aku juga mahu ajak seramai mereka menuju
kepada-Nya bersama.
Dan, esoknya.. setelah bersarapan pagi. Aku duduk dekat dengan Kak
Linda. Bercerita tentang keluarga di kampung. Sudah dua hari aku di
rumahnya, namun baru hari ini sempat untuk beramah mesra. Kesibukan
mencari nafkah keluarga membuatkan hanya sedikit sahaja masa yang
diluangkan di rumah. Kadang-kadang anak-anak dibawa sama ke pejabat,
kadang pula dibiar sahaja mereka lima beradik di rumah.
Tidak aku berani untuk menegur secara langsung terus kerna mungkin
ada hati yang terguris dan luka dengan teguran itu. Tak dinafikan ada
yang mampu menerima, namun lain orang lain caranya penerimaannya. Ada
yang boleh ditegur dengan langsung, ada juga yang boleh dengan perlian
sinis dan ada juga yang mahu ditegur dengan hikmah dan bersopan dan
diterangkan dengan jelas kepadanya.
Namun, aku ini yang masih kurang ilmu, tidak memiliki kehalusan
akhlak yang tinggidan masih ketandusan idea untuk berdebat jika diajak
berbicara, mana mungkin aku lakukan hal sedemikian pasti ia akan
mengundang kerumitan dan perbalahan.
Namun, aku sudah fikirkan cara yang terbaik. Mungkin, ianya berkesan,
mungkin juga tidak. Inilah percubaan pertama. Jika tidak berjaya boleh
diusahakan dengan cara lain, yang penting pendahuluan itu permulaan
kepada segala sesuatu, itu pastinya.
Beg sudah aku kemas di sisi katil. Segala barang-barang sudah aku
atur dan susun dengan baik. Di tangan aku genggam satu kotak. Kotak
hadiah yang aku kira sudah aku ikhlaskan untuk Kak Linda, di dalamnya
tersembunyi dua helai tudung. Satu bewarna hitam dan satu lagi bewarna
coklat. Dan aku sudah pastikan tudung itu tidak jarang dan tidak pula
singkat. Aku simpan kemas di dalamnya. Aku berdoa agar hadiah aku
diterima.
Sewaktu ingin melangkah keluar dari pintu rumah, kotak comel itu aku
hulurkan pada Kak Linda, huluran aku diterima dengan senyuman manis
daripadanya.
“..dan di situ ada harapan yang berbunga daripada aku untuk dikau wahai saudari sehati.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar